Definisi
Kajian Tindakan
Menurut Kemmis dan Mc Taggart (1998), kajian tindakan
merupakan inkuiri berbentuk refleksi kendiri yang dilakukan secara kolaboratif
oleh peserta sesuatu situasi sosial bagi tujuan mempertingkatkan rasional dan
keadilan amalan sosial atau pendidikan yang dilakukan oleh mereka, serta
mempertingkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan tersebut dan situasi atau
persekitaran di mana amalan tersebut dilaksanakan. Lanjutan daripada itu, mereka
telah mengemukakan tiga ciri utama kajian tindakan. Antaranya ialah:
i.
Kajian
tindakan dilakukan oleh penyelidik atau sekumpulan penyelidik sendiri dan
bukannya oleh penyelidik luaran sahaja.
ii.
Kajian
tindakan ini dijalankan secara kolaboratif.
iii. Tujuan kajian tindakan dijalankan bagi memperbaiki
keadaan sesuatu amalan pendidikan.
Bagi Richards dan Lochart (1994), pula kajian tindakan
merupakan satu kajian bilik darjah yang dijalankan oleh pendidik bagi
mempertingkatkan pemahaman pengetahuan PdP di dalam bilik darjah serta
bertujuan mengubah keadaan sesuatu amalan bilik darjah. Kajian tindakan yang
dilakukan biasanya melibatkan projek-projek kajian secara kecilan yang dilakukan
oleh guru bilik darjah. Pendapat tersebut turut disokong oleh Cohen dan Manion
(1994), yang menyatakan kajian tindakan bersifat situasional iaitu
pengenalpastian dan penyelesaian masalah dalam suatu konteks yang spesifik. Mereka
menganggap bahawa kolaboratif merupakan salah satu ciri penting dalam
melaksanakan kajian tindakan.
Terdapat banyak variasi dalam tradisi kajian tindakan,
misalnya variasi di antara kajian tindakan dengan pendekatan penyelidikan
konvensional. Oleh hal yang demikian, kajian tindakan dilakukan dalam bentuk
yang berbeza-beza, contohnya ada yang melakukannya berasaskan kumpulan, individu,
dijalankan oleh penyelidik dalam konteknya sendiri, dilakukan oleh agen
perubahan daripada luar organisasi dengan kerjasama dengan orang dalam, ada
sesetengahnya pula, menekankan penyertaan dan ada pula yang tidak. Perbezaan
tersebut, bukan sahaja dapat dilihat melalui pelaksanaannya sahaja malah
matlamatnya juga berdasarkan pendapat masing-masing, iaitu bertujuan untuk
meningkatkan amalan atau membina individu mahupun mengubah amalan dan pengamal.
Definisi klasik tentang kajian tindakan yang pernah
diutarakan oleh ahli-ahli kajian tindakan seperti berikut:
Action
Research is a three-step spiral process of (1) planning which involves
reconnaissance; (2) taking actions; and (3) fact-finding about the results of
the action.
(Kurt Lewin, 1947)
Action
Research is the process by which practitioners attempt to study their problems
scientifically in order to guide, correct, and evaluate their decisions and
actions.
(Stephen Corey, 1953)
Dalam perkembangan kajian tindakan seterusnya, terdapat
beberapa pandangan serta definisi yang lebih terkini telah dikemukakan.
Misalnya, McKernan (1986:6) menyatakan kajian tindakan sebagai:
“Action
research is a form of self-reflective problem solving, which enables practitioners
to better understand and solve pressing problems in social settings.”
Menurut Kemmis
dan Mc Taggart (1988:5), kajian tindakan merupakan:
“
a form of collective self-reflective inquiry undertaken by participants in
social situations in order to improve the rationality and justice of their own social
situations in order to improve the rationality and justice of their own social
or educational practices, as well as their understanding of these practices and
the situations in which these practices are carried out.”
Bagi Rapoport
(1970:499) pula,
‘action
research aims to contribute both to the practical concerns of people in an immediate
problematic situation and to the goals of social science by joint collaboration
within a mutually acceptable ethical framework”.
John Elliott
(1991), pula menyatakan bahawa kajian tindakan lebih menekankan kepada masalah
praktikal harian yang dialami oleh guru daripada masalah teoretikal yang
dijelaskan oleh penyelidik dalam disiplin tertentu. Menurut Lomax (1994), kajian
tindakan merupakan “penyelidikan pendidikan” (educational research) dan ia berbeza dengan “penyelidikan dalam
pendidikan” (research in education)
kerana yang menjalankan penyelidikan itu adalah guru sendiri yang ingin memperkembangkan
dirinya serta profesionnya.
McNiff (1988), berpendapat kajian tindakan merupakan satu
pendedahan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pendidikan melalui perubahan yang
menggalakkan guru menjadi lebih sedar akan amalan mereka sendiri, menjadi
kritis terhadap amalan-amalan tersebut
serta bersedia mengubah amalan. Pendekatan ini, memerlukan guru menjalankan
inkuiri penemuan secara individu serta melibatkan guru-guru lain secara
kolaboratif.
Mills (2000) pula, menyatakan bahawa
kajian tindakan merupakan satu inkuiri yang dilaksanakan secara sistematik oleh
guru, guru besar atau pengetua, guru-guru pembimbing atau guru lain yang
berkepentingan dalam suasana pengajaran dan perkembangan pelajar bagi
mengumpulkan maklumat berkaitan dengan perjalanan sekolah mereka, bagaimana pengajaran
dibuat dan bagaimana pelajar belajar.
Berdasarkan pendapat yang dikemukakan
oleh beberapa orang ahli kajian tindakan tadi, mendapati terdapat perbezaan
pendapat mengenai istilah serta isu-isu dalam kajian tindakan, namun
kebanyakannya bersetuju bahawa kajian tindakan merupakan satu inkuiri yang
dijalankan oleh atau bersama ‘orang dalam’ (insiders) di sesebuah organisasi
atau komuniti, tetapi tidak kepada atau ke atas mereka. Oleh yang demikian,
jelaslah bahawa kajian tindakan merupakan satu proses reflektif yang dijalankan
secara bertujuan dan sistematik, oleh individu atau kumpulan, yang biasanya
memerlukan satu bentuk bukti bagi menyokong sesuatu kenyataan, dan bermatlamat untuk
mengubah atau meningkatkan amalan.
Tujuan
Kajian Tindakan
Tujuan kajian tindakan dinyatakan dalam pelbagai
pendapat, antaranya Cohen dan Manion (1994) menegaskan kajian tindakan yang
dilakukan bertujuan:
(i)
Sebagai
alat bagi menyelesaikan permasalahan yang dikenal pasti dalam situasi-situasi spesifik atau
memperbaiki keadaan amalan-amalan tertentu.
(ii)
Sebagai
latihan dalam perkhidmatan yang boleh melatih guru-guru menggunakan kemahiran
dan pendekatan baru serta meningkatkan kesedaran kendiri mereka.
(iii)
Sebagai
satu alat bagi menyerapkan pendekatan-pendekatan inovatif ke dalam PdP.
(iv)
Sebagai
langkah memperbaiki komunikasi yang biasanya kurang baik atau menghalang
interaksi antara pendidikan dan ahli akademik.
(v)
Sebagai
pendekatan alternatif terhadap penyelesaian masalah yang sering dihadapi para
guru di dalam bilik darjah.
Kemmis dan McTaggart (1998), juga turut menyatakan
beberapa konsep penting dalam melaksanakan sesuatu kajian tindakan, iaitu
sebagai:
(i)
Satu
pendekatan memperbaiki amalan pendidikan.
(ii)
Melibatkan
penglibatan bersama dari pelbagai pihak.
(iii)
Dilaksanakan
secara kolaboratif.
(iv)
Melahirkan
satu komuniti pendidik yang kritis kendiri terhadap amalan PdP.
(v)
Satu
proses pembelajaran yang sistematik.
(vi)
Memerlukan
kumpulan pendidikan yang pada awalnya dapat merealisasikan amalan dan
seterusnya dapat membentuk kefahaman teori tentang amalan tersebut.
(vii)
Memerlukan
pendidik yang bersedia menguji amalan, idea dan andaian mereka.
(viii)
Merangkumi
aktiviti penyimpanan rekod, mengumpul dan menganalisis keputusan, reaksi dan
tanggapan diri sendiri terhadap apa yang berlaku sebagai bukti.
(ix)
Melibatkan
pembuatan keputusan yang memberi kesan kepada orang lain (selalunya pelajar dan
sekolah).
(x)
Pendidik
atau penyelidik melakukan analisis-analisis yang kritis terhadap situasi mereka
bekerja.
Berdasarkan beberapa kajian tindakan yang dinyatakan,
dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan dilaksanakan bertujuan untuk:
(i)
Bidang
pendidikan bagi memperbaiki amalan pendidikan.
(ii)
Menyelesaikan
masalah setempat bagi kegunaan segera.
(iii)
Skop
yang kecil seperti di dalam kelas.
(iv)
Guru
merupakan penyelidik yang terlibat secara langsung. Kajian yang dijalankan oleh
sekumpulan pendidik dalam memperbaiki amalan pengajaran mereka sendiri.
(v)
Dijalankan
secara kolaboratif dengan tujuan dan penglibatan bersama dengan penyelidik
luar. Mereka yang berkaitan akan bertindak dalam memperbaiki sesuatu amalan
PdP.
(vi)
Pengkaji
melakukan refleksi.
(vii)
Perubahan
yang diperoleh merupakan hasil daripada perancangan dan tindakan yang dibuat.
(viii)
Pengkajian
berkembang secara lingkaran di mana terdapat tindakan susulan dan berterusan
dalam pusingan, iaitu berulang-ulang supaya mendapatkan hasil yang lebih baik.
(ix)
Kajian
dilakukan bukan bertujuan membuat inferens kepada populasi yang lebih luas.
(x)
Proses
pengkajian yang sistematik. Guru secara tekal beriltizam dan sistematik
mengikut urutan dalam mengamalkan nilai-nilai pendidikan serta melibatkan
proses menggunakan kecerdasan kritis bagi melaksanakan tindakan.
(xi)
Pengkaji
bertindak balas hasil daripada keputusan yang diperoleh melalui maklumat yang
dikumpul.
(xii)
Melibatkan
aktiviti penyimpanan rekod, mengumpul dan menganalisis keputusan, reaksi, serta
tanggapan diri sendiri terhadap apa yang berlaku sebagai bukti.
(xiii)
Boleh
dimulakan secara kecilan, disusuli dengan perubahan yang besar dan seterusnya
meluas.
Pelaksanaan kajian tindakan juga,
penting dalam perkembangan kurikulum berasaskan sekolah. Perancangan dan
pembentukan kurikulum sekolah di negara ini telah disediakan oleh pihak agensi
pusat. Hal yang demikian, menunjukkan bahawa kurikulum sekolah adalah setara
dan sama bagi semua sekolah. Namun demikian, sekolah dan guru sentiasa mengubah
suai kurikulum tersebut bagi memastikan ia sesuai dengan konteks dan situasi
pelajar, guru dan sekolah. Proses pengubahsuaian memerlukan guru mentafsirkan
kurikulum berpandukan keperluan dan kebolehan pelajar. memerlukan guru meneliti
amalan pedagogi dan pentaksiran mereka serta menjalankan eksperimen-eksperimen yang sesuai untuk keperluan
dan konteks sekolah. Dalam pada masa yang sama, guru juga dapat meningkatkan
amalan mereka. Kurikulum yang disediakan oleh pihak pusat tersebut terlalu
preskriptis sehingga menyebabkan guru tidak perlu lagi berfikir bagi
mentafsirkannya dalam konteks sekolah mereka. Sesungguhnya, sesuatu kurikulum
itu akan lebih bermakna dan berfungsi sekiranya ia mampu ditafsir dan
dilaksanakan oleh guru sesuai dengan konteks, keperluan dan kebolehan
pelajar-pelajar mereka.
Seterusnya, kajian tindakan yang
dijalankan merupakan antara strategi dalam perkembangan profesionalisme. Sebagai
seorang profesional, guru seharusnya meningkatkan amalan mereka secara
berterusan. Guru perlu berterusan belajar bagi meningkatkan pengetahuan serta
kemahiran mereka sesuai dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan dan
teknologi. Banyak pendekatan yang boleh digunakan bagi meningkatkan
perkembangan profesional guru, misalnya melalui program-program latihan dalam perkhidmatan
yang disediakan khusus untuk guru-guru. Namun demikian, di peringkat sekolah
dan peringkat individu guru, aktiviti-aktiviti penyelidikan turut dijalankan
bertujuan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dan mengambil tindakan yang
sesuai bagi mengatasinya. Malah terdapat sekolah-sekolah yang mengadakan perancangan
yang sistematik untuk guru-guru terlibat dalam meneliti amalan mereka melalui
aktiviti-aktiviti penyelidikan.
Kajian tindakan juga, dapat memberi peluang kepada guru untuk
meneliti dan menilai amalan mereka berdasarkan penilaian kendiri dan penilaian
rakan sekerja. Melalui maklumat dan data yang dikumpul secara sistematik dan
saintifik, keputusan yang lebih termaklum dapat dibuat tentang kelemahan dan
kekuatan amalan serta dapat merangka tindakan lebih sesuai bagi mengatasinya. Oleh
yang demikian, kajian tindakan sebagai alat penilaian adalah lebih bermakna
kepada guru dalam menilai keberkesanan perancangan dan tindakan mereka. Hasil
kajian tersebut, boleh dijadikan asas kepada pihak sekolah dalam menilai
prestasi guru dan juga institusi.
Secara umumnya, tujuan kajian tindakan
ini boleh disimpulkan seperti yang dikemukakan oleh Carr & Kemmis (1986:165)
seperti berikut:
“There are two essential aims of all action
research: to improve and to involve. Action research aims at improvement in
these areas: firstly,the improvement of practice; secondly, the improvement of
understanding of the practice by its practitioners; ang thirdly, the improvement
of the situation in which the practice take place...These involved in the
practice being considered are to be involved in the action research process in
all its phases of planning, acting, observing and reflecting.”
Berdasarkan tujuan kajian yang dikemukakan, jelas
memperlihatkan bahawa peranan guru amat penting sebagai pengkaji atau agen
penyelidik. Oleh yang demikian, para guru terutamanya guru Bahasa Melayu
digalakkan membuat penyelidikan. Kajian atau penyelidikan boleh dilakukan sama
ada dalam amalan pengajaran, membuat refleksi dan tindakan penambahbaikan bagi
meningkatkan keberkesanan PdP.
No comments:
Post a Comment