background

Saturday, 18 April 2015

Tentang Saya


Nama                                   : Amalina Zawani bt Ahmad Shabri
No Matrik                            : D20111047592
Sekolah Latihan Mengajar  : SMK Convent Bukit Mertajam, Pulau Pinang


PENGLIBATAN DI UPSI

BIL.
PENYERTAAN
JAWATAN
1.
Kursus Pengurusan Kokurikulum
Bendahari
2.
Program Most-Liked Video
AJK Pendaftaran
3.
Exco Perhubungan Awam & Antarabangsa Kolej Za’ba
AJK
4.
Pementasan Drama Renjong
AJK
5.
Program Malaysia Book of Record Seni Pengucapan Terpanjang
Pembentang

PENGLIBATAN DI SEKOLAH

BIL.
PENYERTAAN
JAWATAN
1.
Program 1 Murid 1 Sukan
AJK Fotografi
2.
Program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP)
Pembantu Guru Pengiring
3.
Program Starwalk
Pembantu Guru Pengiring
4.
Pertandingan Tandas Terbersih Peringkat Negeri
Pelukis Mural
5.
Majlis Bacaan Yasin Pelajar SPM
AJK Pendaftaran
6.
Pertandingan Bola Jaring Peringkat Daerah
Penjaga Masa
7.
Pertandingan Bola Baling Peringkat Daerah
Pembantu Guru Pengiring
8.
Pertandingan Choral Speaking Peringkat Kebangsaan
Pembantu Guru Pengiring

Ciri-ciri Kajian Tindakan

CIRI-CIRI KAJIAN TINDAKAN

Menurut Othman Lebar (2011), kajian tindakan lebih kepada kajian untuk penambahbaikan dalam sesuatu bidang yang dikaji yang dilakukan secara langsung oleh penyelidik itu sendiri. Antara ciri utama kajian tindakan adalah seperti berikut:

  1. Menyelesaikan Masalah Sosial
Antara tujuan kajian tindakan dilakukan adalah untuk menyelesaikan masalah sosial yang timbul. Maka, kajian tindakan yang dilakukan haruslah mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika kajian tindakan sering digunakan oleh para pendidik di dalam bilik darjah.

Misalnya, seorang guru merancang untuk mengkaji cara yang paling baik untuk memulakan pengajarannya. Guru tersebut telah memfokuskan kepada beberapa minit pertama pengajarannya dengan menggunakan beberapa cara yang berbeza pada beberapa sesi pengajara yang berlainan. Para pelajar telah diminta untuk menilai keberkesanan permulaan pengajaran yang telah dilakukan.

  1. Praktis Sosial
Seterusnya, sesuatu kajian tindakan mestilah mempunyai ciri yang praktis sosial. Dalam sosial di sesebuah sekolah, amalan-amalannya adalah berkaitan dengan isi PdP, suasana bilik darjah, sikap pelajar dan sebagainya. Hal ini juga berkaitan dengan interaksi antara guru dan guru, guru dengan pelajar serta pelajar dan pelajar. Selain itu, dalam sesebuah interaksi juga perlu mengandungi unsur-unsur seperti kemesraan, percambahan idea dan lain-lain.

  1. Membaiki Keadaan Sosial
Selain itu, kajian tindakan juga mempunyai ciri untuk membaiki keadaan semasa responden kajian. Hal ini melibatkan perubahan tingkah laku atau sikap responden pada akhir kajian tersebut.

Sebagai contoh, seorang guru mendapati bahawa sekumpulan pelajarnya kurang menumpukan perhatian semasa proses PdP berlaku. Oleh hal yang demikian, guru tersebut telah membahagikan pelajar-pelajar tersebut kepada empat kumpulan yang berbeza. Dengan menggunakan reka bentuk eksperimental, hasil kajian tindakan tersebut menunjukkan bahawa tahap penumpuan pelajar telah meningkat. Hal ini menjelaskan bahawa aktiviti-aktiviti yang diberikan dapat meningkatkan tahap penumpuan pelajar.

  1. Merupakan Proses Reflektif
Sesebuah kajian tindakan adalah merupakan satu proses reflektif iaitu tidak semestinya tindakan yang diambil dapat mengubah tingkah laku responden. Sebelum kajian dilakukan, pengkaji akan menggunakan pemikiran relatifnya untuk menentukan tindakan yang sesuai digunakan dalam kajiannya. Semasa dan selepas kajian tindakan dilaksanakan, pengkaji akan melakukan refleksi untuk menilai kesan tindakan kajiannya. Sekiranya tindakan yang dilakukan kurang memuaskan, pengkaji akan membuat analisis, menilai semula tindakannya dan seterusnya merancang tindakan yang baru untuk digunakan dalam kajian tindakan yang seterusnya.

  1. Satu Proses Berulang-ulang
Kajian tindakan merupakan kajian yang berterusan ke atas amalan sosial dalam jangka masa yang panjang. Sebelum setiap kitaran kajian dilakukan, pengkaji akan membuat rumusan dan refleksi mengenai tindakannya sama ada memperbaiki keadaan semasa atau tidak.

BENTUK-BENTUK DATA KAJIAN TINDAKAN

Othman Lebar (2011) menyatakan bahawa guru boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengumpul data. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah:

  1. Pemerhatian
Pemerhatian merupakan salah satu kaedah penyelidikan yang penting. Kaedah ini memerlukan pengkaji mempunyai latar belakang pengetahuan serta pemahaman situasi luas untuk memuat pemerhatian situasi yang sebenar. Pemerhatian bukan saja melibatkan aktiviti meneliti situasi dan kejadian, tetapi juga aktiviti berfikir secara original dan kritikal.

Terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian ketika menggunakan kaedah ini:

a. Kajian perlu dijalankan secara sistematik. Data yang dikutip melalui pemerhatian mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi sekiranya data dikutip secara teratur dalam situasi kajian yang sebenar.
b.      Pemerhatian secara langsung boleh dilakukan tanpa atau dengan bantuan alatan teknikal.
c.   Sebelum melakukan pemerhatian, aspek-aspek seperti tumpuan, masa dan cara pemerhatian perlu diambil kira.

  1. Dokumen
Tujuan meninjau dokumen adalah untuk mengutip data atau maklumat yang berguna dari dokumen yang dikaji. Dokumen merupakan bahan yang penting untuk memahami tujuan, tujuan rasional dan sejarah sesuatu program atau dasar.

Antara dokumen yang boleh digunakan dalam kajian tindakan ialah:

a.       Sukatan pelajaran dan rancangan pelajaran
b.      Kertas peperiksaan dan ujian
c.       Minit mesyuarat panitia
d.      Laporan kurikulum
e.       Contoh kerja pelajar
f.       Bahan-bahan dalam buku teks yang dikaji
g.      Bahan-bahan dokumen bergambar

  1. Rakaman Video
Cara ini memerlukan seorang rakan kajian untuk membantu melaksanakan sesi penggambaran. Penggambaran video dapat mengesan data-data yang berupa kelakuan guru, pelakuan pelajar atau fakta-fakta lain yang gagal dikesan oleh guru. Rakaman tersebut juga berguna untuk mengukur dan menilai kegiatan seseorang individu atau kumpulan dalam sesuatu aktiviti. Rakaman video ini juga boleh dijadikan transkrip perbualan pelajar-pelajar mengenai pemahaman sesuatu konsep. Kaedah ini juga digunakan seiring dengan kaedah temu bual.

  1. Temu Bual
Temu bual dapat membantu pengkaji meneroka dan mendapatkan maklumat klien secara mendalam. Pengkaji perlu berhubung secara sua muka atau secara terus menerus dengan peserta untuk mendapatkan maklumat secara langsung. Terdapat dua jenis temu bual, iaitu temu bual berstruktur dan tidak berstruktur. Temu bual boleh dilakukan dengan merekod perbualan melalui rakaman audio dan membuat catatan.

  1. Soal Selidik
Kaedah soal selidik memerlukan alat, iaitu kertas ujian dan borang soal selidik. Kaedah ini sering digunakan untuk mengutip data dalam kajian tindakan secara formal dan sistematik. Soalan-soalan soal selidik boleh dinilai secara kritikal oleh rakan sejawat atau pakar-pakar dalam pembinaan sola selidik untuk menguji kebolehpercayaan serta dapat menggambarkan pandangan sebenar respon.

  1. Penilaian Kendiri
Penilaian kendiri secara mendalam penting untuk memberi penjelasan kepada guru tentang kelebihann dan kekurangan guru tersebut. Penilaian kendiri secara mendalam boleh bercorak deskriptif atau bersifat tafsiran. Penilaian kendiri ini berguna untuk memperoleh isu-isu bermasalah yang sentiasa berlaku.

  1. Kajian Bayangan

Dalam kajian ini, pemerhatian kajian ditumpukan kepada seseorang individu atau satu kumpulan kecil. Pemerhatian dijalankan dalam masa yang agak panjang. Semasa menjalankan kaedah ini, pengkaji yang memerhati perlu mendekati pelajar atau kumpulan yang diperhatikan tanpa disedari oleh mereka. Tujuan utama kaedah ini ialah untuk membolehkan pengkaji melakukan pemerhatian dan penyertaan tanpa mengganggu peserta-peserta atau subjek kajian yang lain.

Definisi Kajian Tindakan

Definisi Kajian Tindakan
Menurut Kemmis dan Mc Taggart (1998), kajian tindakan merupakan inkuiri berbentuk refleksi kendiri yang dilakukan secara kolaboratif oleh peserta sesuatu situasi sosial bagi tujuan mempertingkatkan rasional dan keadilan amalan sosial atau pendidikan yang dilakukan oleh mereka, serta mempertingkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan tersebut dan situasi atau persekitaran di mana amalan tersebut dilaksanakan. Lanjutan daripada itu, mereka telah mengemukakan tiga ciri utama kajian tindakan. Antaranya ialah:
i.      Kajian tindakan dilakukan oleh penyelidik atau sekumpulan penyelidik sendiri dan bukannya oleh penyelidik luaran sahaja.
ii.    Kajian tindakan ini dijalankan secara kolaboratif.
iii.  Tujuan kajian tindakan dijalankan bagi memperbaiki keadaan sesuatu amalan pendidikan.
Bagi Richards dan Lochart (1994), pula kajian tindakan merupakan satu kajian bilik darjah yang dijalankan oleh pendidik bagi mempertingkatkan pemahaman pengetahuan PdP di dalam bilik darjah serta bertujuan mengubah keadaan sesuatu amalan bilik darjah. Kajian tindakan yang dilakukan biasanya melibatkan projek-projek kajian secara kecilan yang dilakukan oleh guru bilik darjah. Pendapat tersebut turut disokong oleh Cohen dan Manion (1994), yang menyatakan kajian tindakan bersifat situasional iaitu pengenalpastian dan penyelesaian masalah dalam suatu konteks yang spesifik. Mereka menganggap bahawa kolaboratif merupakan salah satu ciri penting dalam melaksanakan kajian tindakan.
Terdapat banyak variasi dalam tradisi kajian tindakan, misalnya variasi di antara kajian tindakan dengan pendekatan penyelidikan konvensional. Oleh hal yang demikian, kajian tindakan dilakukan dalam bentuk yang berbeza-beza, contohnya ada yang melakukannya berasaskan kumpulan, individu, dijalankan oleh penyelidik dalam konteknya sendiri, dilakukan oleh agen perubahan daripada luar organisasi dengan kerjasama dengan orang dalam, ada sesetengahnya pula, menekankan penyertaan dan ada pula yang tidak. Perbezaan tersebut, bukan sahaja dapat dilihat melalui pelaksanaannya sahaja malah matlamatnya juga berdasarkan pendapat masing-masing, iaitu bertujuan untuk meningkatkan amalan atau membina individu mahupun mengubah amalan dan pengamal.

Definisi klasik tentang kajian tindakan yang pernah diutarakan oleh ahli-ahli kajian tindakan seperti berikut:
Action Research is a three-step spiral process of (1) planning which involves reconnaissance; (2) taking actions; and (3) fact-finding about the results of the action.
                                                                                                   (Kurt Lewin, 1947)
Action Research is the process by which practitioners attempt to study their problems scientifically in order to guide, correct, and evaluate their decisions and actions.
                                                                                                (Stephen Corey, 1953)
Dalam perkembangan kajian tindakan seterusnya, terdapat beberapa pandangan serta definisi yang lebih terkini telah dikemukakan. Misalnya, McKernan (1986:6) menyatakan kajian tindakan sebagai:
“Action research is a form of self-reflective problem solving, which enables practitioners to better understand and solve pressing problems in social settings.”
Menurut Kemmis dan Mc Taggart (1988:5), kajian tindakan merupakan:
“ a form of collective self-reflective inquiry undertaken by participants in social situations in order to improve the rationality and justice of their own social situations in order to improve the rationality and justice of their own social or educational practices, as well as their understanding of these practices and the situations in which these practices are carried out.”
Bagi Rapoport (1970:499) pula,
‘action research aims to contribute both to the practical concerns of people in an immediate problematic situation and to the goals of social science by joint collaboration within a mutually acceptable ethical framework”.
John Elliott (1991), pula menyatakan bahawa kajian tindakan lebih menekankan kepada masalah praktikal harian yang dialami oleh guru daripada masalah teoretikal yang dijelaskan oleh penyelidik dalam disiplin tertentu. Menurut Lomax (1994), kajian tindakan merupakan “penyelidikan pendidikan” (educational research) dan ia berbeza dengan “penyelidikan dalam pendidikan” (research in education) kerana yang menjalankan penyelidikan itu adalah guru sendiri yang ingin memperkembangkan dirinya serta profesionnya.
          McNiff (1988), berpendapat kajian tindakan merupakan satu pendedahan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru menjadi lebih sedar akan amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap           amalan-amalan tersebut serta bersedia mengubah amalan. Pendekatan ini, memerlukan guru menjalankan inkuiri penemuan secara individu serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif.
          Mills (2000) pula, menyatakan bahawa kajian tindakan merupakan satu inkuiri yang dilaksanakan secara sistematik oleh guru, guru besar atau pengetua, guru-guru pembimbing atau guru lain yang berkepentingan dalam suasana pengajaran dan perkembangan pelajar bagi mengumpulkan maklumat berkaitan dengan perjalanan sekolah mereka, bagaimana pengajaran dibuat dan bagaimana pelajar belajar.
          Berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli kajian tindakan tadi, mendapati terdapat perbezaan pendapat mengenai istilah serta isu-isu dalam kajian tindakan, namun kebanyakannya bersetuju bahawa kajian tindakan merupakan satu inkuiri yang dijalankan oleh atau bersama ‘orang dalam’ (insiders) di sesebuah organisasi atau komuniti, tetapi tidak kepada atau ke atas mereka. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kajian tindakan merupakan satu proses reflektif yang dijalankan secara bertujuan dan sistematik, oleh individu atau kumpulan, yang biasanya memerlukan satu bentuk bukti bagi menyokong sesuatu kenyataan, dan bermatlamat untuk mengubah atau meningkatkan amalan.

Tujuan Kajian Tindakan
Tujuan kajian tindakan dinyatakan dalam pelbagai pendapat, antaranya Cohen dan Manion (1994) menegaskan kajian tindakan yang dilakukan bertujuan:
(i)       Sebagai alat bagi menyelesaikan permasalahan yang dikenal pasti dalam               situasi-situasi spesifik atau memperbaiki keadaan amalan-amalan tertentu.
(ii)     Sebagai latihan dalam perkhidmatan yang boleh melatih guru-guru menggunakan kemahiran dan pendekatan baru serta meningkatkan kesedaran kendiri mereka.
(iii)   Sebagai satu alat bagi menyerapkan pendekatan-pendekatan inovatif ke dalam PdP.
(iv)   Sebagai langkah memperbaiki komunikasi yang biasanya kurang baik atau menghalang interaksi antara pendidikan dan ahli akademik.
(v)     Sebagai pendekatan alternatif terhadap penyelesaian masalah yang sering dihadapi para guru di dalam bilik darjah.
Kemmis dan McTaggart (1998), juga turut menyatakan beberapa konsep penting dalam melaksanakan sesuatu kajian tindakan, iaitu sebagai:
(i)            Satu pendekatan memperbaiki amalan pendidikan.
(ii)          Melibatkan penglibatan bersama dari pelbagai pihak.
(iii)        Dilaksanakan secara kolaboratif.
(iv)        Melahirkan satu komuniti pendidik yang kritis kendiri terhadap amalan PdP.
(v)          Satu proses pembelajaran yang sistematik.
(vi)        Memerlukan kumpulan pendidikan yang pada awalnya dapat merealisasikan amalan dan seterusnya dapat membentuk kefahaman teori tentang amalan tersebut.
(vii)      Memerlukan pendidik yang bersedia menguji amalan, idea dan andaian mereka.
(viii)    Merangkumi aktiviti penyimpanan rekod, mengumpul dan menganalisis keputusan, reaksi dan tanggapan diri sendiri terhadap apa yang berlaku sebagai bukti.
(ix)        Melibatkan pembuatan keputusan yang memberi kesan kepada orang lain (selalunya pelajar dan sekolah).
(x)          Pendidik atau penyelidik melakukan analisis-analisis yang kritis terhadap situasi mereka bekerja.
Berdasarkan beberapa kajian tindakan yang dinyatakan, dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan dilaksanakan bertujuan untuk:
(i)            Bidang pendidikan bagi memperbaiki amalan pendidikan.
(ii)          Menyelesaikan masalah setempat bagi kegunaan segera.
(iii)        Skop yang kecil seperti di dalam kelas.
(iv)        Guru merupakan penyelidik yang terlibat secara langsung. Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pendidik dalam memperbaiki amalan pengajaran mereka sendiri.
(v)          Dijalankan secara kolaboratif dengan tujuan dan penglibatan bersama dengan penyelidik luar. Mereka yang berkaitan akan bertindak dalam memperbaiki sesuatu amalan PdP.
(vi)        Pengkaji melakukan refleksi.
(vii)      Perubahan yang diperoleh merupakan hasil daripada perancangan dan tindakan yang dibuat.
(viii)    Pengkajian berkembang secara lingkaran di mana terdapat tindakan susulan dan berterusan dalam pusingan, iaitu berulang-ulang supaya mendapatkan hasil yang lebih baik.
(ix)        Kajian dilakukan bukan bertujuan membuat inferens kepada populasi yang lebih luas.
(x)          Proses pengkajian yang sistematik. Guru secara tekal beriltizam dan sistematik mengikut urutan dalam mengamalkan nilai-nilai pendidikan serta melibatkan proses menggunakan kecerdasan kritis bagi melaksanakan tindakan.
(xi)        Pengkaji bertindak balas hasil daripada keputusan yang diperoleh melalui maklumat yang dikumpul.
(xii)      Melibatkan aktiviti penyimpanan rekod, mengumpul dan menganalisis keputusan, reaksi, serta tanggapan diri sendiri terhadap apa yang berlaku sebagai bukti.
(xiii)    Boleh dimulakan secara kecilan, disusuli dengan perubahan yang besar dan seterusnya meluas.
          Pelaksanaan kajian tindakan juga, penting dalam perkembangan kurikulum berasaskan sekolah. Perancangan dan pembentukan kurikulum sekolah di negara ini telah disediakan oleh pihak agensi pusat. Hal yang demikian, menunjukkan bahawa kurikulum sekolah adalah setara dan sama bagi semua sekolah. Namun demikian, sekolah dan guru sentiasa mengubah suai kurikulum tersebut bagi memastikan ia sesuai dengan konteks dan situasi pelajar, guru dan sekolah. Proses pengubahsuaian memerlukan guru mentafsirkan kurikulum berpandukan keperluan dan kebolehan pelajar. memerlukan guru meneliti amalan pedagogi dan pentaksiran mereka serta menjalankan  eksperimen-eksperimen yang sesuai untuk keperluan dan konteks sekolah. Dalam pada masa yang sama, guru juga dapat meningkatkan amalan mereka. Kurikulum yang disediakan oleh pihak pusat tersebut terlalu preskriptis sehingga menyebabkan guru tidak perlu lagi berfikir bagi mentafsirkannya dalam konteks sekolah mereka. Sesungguhnya, sesuatu kurikulum itu akan lebih bermakna dan berfungsi sekiranya ia mampu ditafsir dan dilaksanakan oleh guru sesuai dengan konteks, keperluan dan kebolehan pelajar-pelajar mereka.
          Seterusnya, kajian tindakan yang dijalankan merupakan antara strategi dalam perkembangan profesionalisme. Sebagai seorang profesional, guru seharusnya meningkatkan amalan mereka secara berterusan. Guru perlu berterusan belajar bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka sesuai dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan dan teknologi. Banyak pendekatan yang boleh digunakan bagi meningkatkan perkembangan profesional guru, misalnya melalui program-program latihan dalam perkhidmatan yang disediakan khusus untuk guru-guru. Namun demikian, di peringkat sekolah dan peringkat individu guru, aktiviti-aktiviti penyelidikan turut dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dan mengambil tindakan yang sesuai bagi mengatasinya. Malah terdapat sekolah-sekolah yang mengadakan perancangan yang sistematik untuk guru-guru terlibat dalam meneliti amalan mereka melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan.
          Kajian tindakan  juga, dapat memberi peluang kepada guru untuk meneliti dan menilai amalan mereka berdasarkan penilaian kendiri dan penilaian rakan sekerja. Melalui maklumat dan data yang dikumpul secara sistematik dan saintifik, keputusan yang lebih termaklum dapat dibuat tentang kelemahan dan kekuatan amalan serta dapat merangka tindakan lebih sesuai bagi mengatasinya. Oleh yang demikian, kajian tindakan sebagai alat penilaian adalah lebih bermakna kepada guru dalam menilai keberkesanan perancangan dan tindakan mereka. Hasil kajian tersebut, boleh dijadikan asas kepada pihak sekolah dalam menilai prestasi guru dan juga institusi.
          Secara umumnya, tujuan kajian tindakan ini boleh disimpulkan seperti yang dikemukakan oleh Carr & Kemmis (1986:165) seperti berikut:
       “There are two essential aims of all action research: to improve and to involve. Action research aims at improvement in these areas: firstly,the improvement of practice; secondly, the improvement of understanding of the practice by its practitioners; ang thirdly, the improvement of the situation in which the practice take place...These involved in the practice being considered are to be involved in the action research process in all its phases of planning, acting, observing and reflecting.”

Berdasarkan tujuan kajian yang dikemukakan, jelas memperlihatkan bahawa peranan guru amat penting sebagai pengkaji atau agen penyelidik. Oleh yang demikian, para guru terutamanya guru Bahasa Melayu digalakkan membuat penyelidikan. Kajian atau penyelidikan boleh dilakukan sama ada dalam amalan pengajaran, membuat refleksi dan tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan PdP.